.::Main Contents::.
...
-
‘Idul Adha : Hayati Tunjuk Ajar Allah tentang Pengorbanan
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar waliLlahil hamd..
Alhamdulillah, hari ini, kita masih dapat menyambut Hari Raya ‘Idul Adha dalam suasana aman dan tenteram di bumi sendiri. Dengan suasana di tempat lain yang tidak sebaik kita, hanya pujian pada Yang Esa selayaknya dipundakkan dan juga di atas pemberian nikmat Iman dan Islam yang masih kita kecapi hingga ke saat ini.
‘Idul Adha banyak menzahirkan erti sebenar pengorbanan sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Ramai manusia beranggapan mereka telah berkorban jiwa, masa, tenaga atau wang namun berapa ramaikah pula di antara mereka yang menepati ciri-ciri yang dianjurkan Islam? Sirah telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. ketika meninggalkan anak dan isteri di bumi Mekah yang tidah berpenghuni dan kering-kontang pada ketika itu sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah S.W.T dalam Surah Ibrahim, ayat 37 ;
“Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanaman-tanaman dekat dengan rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati (yang demikian itu) agar mereka melaksanakan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur”
Dalam Kitab Sahih Muslim dan juga dilakarkan cerita sama dalam Kitab Qasasul Anbiya’ karangan Ibnu Kathir, diceritakan tentang kewala’an dan ketaatan Nabi Ibrahim A.S. pada perintah Allah S.W.T untuk membawa anak dan isteri baginda ke lembah tersebut. Seusai meletakkan mereka di bawah satu bayangan pokok di bawah cahaya terik matahari, Nabi Ibrahim A.S. berlalu pergi meninggalkan kedua-dua beranak tanpa meninggalkan apa-apa pesan yang seterusnya menjustifikasikan pertanyaan Siti Hajar kepada suaminya, “Wahai Nabi Allah, mengapakah kami ditinggalkan bersendirian di sini?” Nabi Ibrahim A.S. hanya mendiam dan langsung tidak menjawab soalan isterinya itu. Sehinggalah apabila Siti Hajar kemudiannya bertanya, “Adakah Allah S.W.T. yang memerintahkan dirimu untuk berbuat demikian? Lantas Nabi Ibrahim menjawabnya, “Ya”, lalu Siti Hajar menyambung “Jikalau begitu, kami yakin bahawa Allah S.W.T. tidak akan mengabaikan kami berdua di sini”. Lalu Nabi Ibrahim A.S. berlalu pergi meninggalkan mereka. Tanpa simpanan duit, tiada bekalan makanan, tiada tempat berteduh daripada hujan dan panas sebagaimana lazim yang dilakukan oleh seorang ayah kepada isteri dan seorang ayah kepada anak.
Nabi Ibrahim A.S. juga menunjukkan kepada kita bahawa kewala’an dan ketaatan pada suruhan Allah tidak mengenal identiti sebagaimana yang dilakarkan dalam kisah kepatuhan pada arahan penyembelihan Nabi Ismail A.S. Kedua-dua beranak ini juga memberikan contoh yang baik untuk diteladani oleh semua apabila berlakunya pertembungan antara hak Allah S.W.T. dan hak keluarga. Walaupun perasaan Nabi Ibrahim A.S. agak kesedihan kerana terpaksa menyembelih anaknya sendiri, namun disebabkan ia adalah perintah langsung daripada Allah S.W.T., maka Nabi Ibrahim A.S. hanya wala’ dan patuh pada arahan tersebut. Nabi Ismail A.S. pula, sebaik mengetahui bahawa ia adalah satu perintah, terus akur dan rela nyawa melayang kerana kepatuhan pada arahan tersebut.
Pengajaran yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim kepada kita ialah kewala’an dan ketaatan sepenuhnya pada arahan Allah S.W.T. tanpa banyak soal dan dalih. Sebaik sahaja mendapat seruan daripada Allah S.W.T., Nabi Ibrahim A.S. terus menyahutnya. Keakuran Siti Hajar pula, sebaik mengetahui ia adalah perintah Allah S.W.T juga contoh yang terbaik untuk diikuti terutamanya bagi golongan Hawa. Berada dalam medan ini, terkadang akan ada saat dan ketikanya ditinggalkan oleh seseorang lelaki, baik yang bernama suami, ayah, abang, adik dan sebagainya. Nabi Ismail A.S. pula membuktikan bahawa apabila berlakunya pertembungan hak manusia dengan hak Allah SW.T.,maka hak manusia itu terus diketepikan untuk hak Allah S.W.T itu dijunjung.
Ketiga-tiga beranak ini telah menggariskan satu bentuk pengorbanan yang menepati erti sebenar pengorbanan iaitu untuk menunjukkan bahawa berkorban ketika berada dalam keadaan kesusahan dan ketidaktentuan itu lebih besar nilainya berbanding berkorban ketika hanya berada dalam keadaan ‘senang’.
Sesungguhnya, ibadah korban yang diajar oleh Allah S.W.T. melalui sirah nabi-Nya adalah untuk menunjukkan sampel dan contoh kepada umat manusia tentang maksud pengorbanan. Untuk mengatakan bahawa agak mustahil untuk kita melakukan sesuatu perkara seperti amalan para Nabi dan Rasul ialah kejahilan dalam beragama kerana sirah itu dibuat, diajar, ditunjuk, dilakar dan direkodkan untuk dicontohi oleh sekalian umat.
Korban pula hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah S.W.T.,bukan kerana harta dunia, pangkat kuasa atau wanita idaman.
Hikmah ibadah korban pula hanyasalah untuk melahirkan manusia yang bertaqwa. Ka’ab Bin Ubai R.A. ketika berbicara dengan Umar Al-Khattab R.A. mengatakan bahawa taqwa diibaratkan seolah-olah apabila seseorang sedang melalui jalan yang berduri. Saat hati-hati dan waspada daripada tercucuk duri ketika melalui jalan tersebut itulah yang dinamakan taqwa.
Moga-moga di samping laungan takbir yang kita alunkan dan kegembiraan berjumpa dengan sanak saudara di kampung, kita tidak lupakan perkara yang paling penting dalam perayaan ini ialah bagaimana Allah S.W.T. telah menunjuk ajar kita melalui sirah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail 'alayhimassalam tentang nilai dan erti sebenar pengorbanan.
Firman-Nya dalam Surah Al-Hajj, ayat 37 ; “daging (haiwan korban) dan darahnya itu tidak sesekali akan sampai kepada Allah S.W.T.,tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Dia menundukkannya untukmu agar kamu mengagungkan Allah S.W.T. atas petunjuk yang Dia berikan kepadamu. Dan sampaikanlah berita kepada orang-orang yang berbuat baik”
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar waliLlahil hamd..
Oleh :
Muhammad Zaki Bin Sukery,
Presiden,
Ma'ruf Club UIAM,
~ Let's Discover the Beauty of Islam ~
* INSPIRING DAKWAH, LEADING THE UMMAH *
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments: