.::Main Contents::.

...


  • PINDAAN AUKU 2008 : Manifestasi Kelesuan Gerakan Mahasiswa


    Akta Universiti Kolej Universiti bukanlah suatu Akta yang asing bagi mahasiswa. Ia telah berperanan dengan baik selama lebih 35 tahun sebagai senjata paling ampuh sang aparatus untuk berdepan dengan semangat juang mahasiswa. Sejarah sendiri membuktikan bahawa AUKU ditubuhkan dengan berlandaskan mala fide intention (niat jahat) apabila ia dibentangkan ke dalam Dewan Parlimen pada Mac 1971 susulan daripada siri-siri aksi mahasiswa di jalanan yang lantang memperjuangkan nasib rakyat yang tertindas.

    Yang menariknya, semenjak daripada hari pertama Akta zalim ini dikuatkuasakan, ia sering menjadi bahan cacian dan makian para akademia muda yang cakna dengan nasib dan masa depan mahasiswa di bawah cengkaman AUKU. Aksi-aksi mahasiswa terus dicatur tanpa mengira kekangan yang tergazet dalam AUKU. Namun, tidak dinafikan, era pasca penguatkuasaan AUKU, gerakan mahasiswa lebih tertumpu kepada modus bawah tanah dan pemberdayaan potensi diri semata. Gerakan mahasiswa seakan hilang rentak sekitar tahun 80-an.

    Tahun 90-an pula menyaksikan kebangkitan mahasiswa yang agak relatif dengan kesedaran masyarakat sivil terhadap kezaliman dan penganiayaan yang berlaku di Malaysia. Lanskap politik yang kurang stabil akibat daripada pemusatan kuasa kepada seorang individu tertinggi pada dekad ini menyuntik kesedaran golongan marhaen untuk bertindak menentang salah guna kuasa yang berleluasa. Lebih-lebih lagi apabila pola aktivisme mahasiswa dirancakkan lagi dengan penubuhan beberapa front mahasiswa nasional termasuk GAMIS dan SMM yang tampil menjuarai isu yang berlegar.

    Kemuncak kepada kebangkitan ini, mahasiswa turun bersama rakyat menyertai mobilasi nasional pada tahun 1998 untuk menzahirkan sokongan mereka terhadap gerakan reformasi. Mahasiswa diingati sebagai entiti yang agak signifikan dalam bersama-sama memacu gerakan ini bersama rakyat sehingga tumpasnya kerajaan UMNO dan pakatannya di Terengganu.

    Bermula dari itu, aktivisme mahasiswa kembali rancak. Aksi-aksi mahasiswa di pentas masyarakat kembali segar dan relevan. Demonstrasi kriket, isu pinjaman PTPTN, gerakan mansuh ISA, keganasan Amerika-Israel, karikatur Nabi s.a.w dan banyak lagi merupakan antara plot-plot menarik yang tercatat dalam sejarah gerakan mahasiswa pasca reformasi. Bahkan, 7 orang mahasiswa terpaksa dikorbankan sebagai ganti kepada kerancakan momentum perjuangan mahasiswa pada tahun 2001 dalam satu peristiwa yang diingati sebagai insiden ISA 7.

    Walaubagaimanapun, mutakhir ini, atau lebih tepatnya 2-3 tahun kebelakangan ini, gerakan mahasiswa tampak kurang menyengat. Taringnya seakan semakin tumpul dan tidak berbisa. Bukan kerana tiada aksi yang direncana di peringkat nasional. Isu demokrasi kampus sememangnya tidak pernah lekang daripada perjuangan mahasiswa saban tahun. Namun, modus dan metode gerakan yang kelihatan stereotaip seolah-olah membenarkan inferens segelintir pihak bahawa gerakan mahasiswa era ini bersifat retrospektif.

    Bukti yang lebih jelas adalah kegagalan mahasiswa untuk mengumpulkan seluruh daya upaya mereka ke tahap yang maksimum bagi membantah pindaan AUKU baru-baru ini. AUKU yang telah bertapak lama di Malaysia seakan-akan tiada jangka hayatnya. Mahasiswa seolah-olah membenarkan AUKU untuk terus wujud dan terpelihara. Mungkin mahasiswa era ini berasa complacent dengan kondisi yang ada pada hari ini. Biarkan AUKU wujud agar mahasiswa terus sukses dalam lapangan akademik mereka.

    Di Indonesia, mahasiswa di sana tidak perlu tunggu lama untuk mengkuburkan akta yang sama peranannya dengan AUKU di Malaysia iaitu NKK-BKK (Normalisasi Kehidupan Kampus-Badan Koordinasi Kampus). Undang-undang yang digazetkan pada tahun 1978 ini menemui noktahnya pada tahun 1998 apabila sebuah gerakan masif mahasiswa dan gerakan sivil bersama-sama menggesa rejim Soeharto agar segera memansuhkan NKK-BKK ini. Bukan satu dua aksi yang mereka lakukan, namun lebih banyak daripada itu sehingga agenda mereka membuahkan hasil.

    Di Malaysia, sebuah gerakan yang benar-benar memperjuangkan pemansuhan AUKU adalah Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA). Ia ditubuhkan khusus untuk membawa agenda pemansuhan AUKU. Kredit perlu diberikan kepada mereka lantaran usaha mereka untuk merealisasikan agenda tersebut. Memorandum telah diserahkan, demonstrasi telah dianjurkan, siri-siri penerangan kepada mahasiswa dan Ahli Parlimen juga telah diadakan. Mungkin upaya mereka masih belum sampai ke tahap yang ekstra-maksima untuk menjayakan agenda tersebut.

    Tambahan lagi, kesedaran mahasiswa tentang isu ini tidak begitu melata. Tidak semua mahasiswa benar-benar faham bahawa agenda pemansuhan AUKU adalah agenda nasional yang perlu disahut seluruh mahasiswa. Hal ini diburukkan lagi apabila wujud sekolompok mahasiswa yang lebih cenderung untuk dikenali sejarah sebagai sang pencacai kepada pak menteri apabila menyatakan sokongan mereka terhadap AUKU. Mahasiswa secara keseluruhannya tidak bersatu mendepani isu ini.

    Lebih menyedihkan apabila jentera gerakan mahasiswa juga hadapi masalah sesama mereka. Di sebalik iltizam dan komitmen satu golongan aktivis mahasiswa untuk memacu dan menjayakan agenda ini, wujud pula satu golongan lain yang seakan-akan melukut di tepi gantang. Mereka berebut untuk tampil sebagai juara dalam isu pemansuhan AUKU. Apabila dipanggil mesyuarat bersama, seribu satu alasan yang dikemukakan, namun bila beraksi, dia pula yang lantang berhujah dan menyuarakan persepsi mewakili mahasiswa.

    Faktor lain adalah kegagalan gerakan mahasiswa untuk mewujudkan suatu rangkaian sinergi yang baik dengan elemen-elemen masyarakat sivil yang lain termasuklah NGO, media, parti politik dan rakyat marhaen. Kesungguhan mahasiswa untuk bergerak sendiri sememangnya harus dipuji. Namun kebebalan mereka untuk tidak menggunakan kebijaksanaan dalam menerajui gerakan itu yang dikesali. GMMA sememangnya telah mengatur langkah untuk memperkukuh hubungan baik dengan entiti-entiti tersebut. Namun mungkin usaha mereka itu tidak (baca:kurang) berjawab.

    Namun, tidak dinafikan, yang menang dalam pertempuran ini kali adalah sang penguasa. Mereka berjaya menumpulkan cakna mahasiswa terhadap isu-isu nasional. Mereka berjaya menguasai mentaliti mahasiswa agar terus dibelenggu oleh politic of fear. Mereka berjaya mengoptimakan seluruh ruang dan kemampuan yang ada untuk melumpuhkan gerakan mahasiswa. Jangan salahkan mereka kerana memang itulah tanggungjawab mereka sebagai penguasa yang tidak sayangkan masa depan generasi muda mereka.

    Justeru, hari ini, seluruh elemen gerakan mahasiswa perlu duduk semeja. Bermuhasabahlah. AUKU telah berjaya dipinda. Slogan “Mansuhkan AUKU” entah hilang ke mana. Tekad perlu dibulatkan. Semangat perlu disemarakkan. Benar, AUKU bukan segala-galanya. Aktivisme mahasiswa tidak akan sama-sekali terkesan dengan AUKU. Namun, perlu kita ingat bahawa AUKUlah yang selama ini telah menjadi demon yang ditakuti oleh rakan-rakan mahasiswa kita yang lain sehingga mereka terperosok jauh ke dalam kehidupan kampus mereka yang sia-sia.

    "Most of the important things in the world have been accomplished by people who have kept on trying when there seemed to be no hope at all." - Dale Carnegie



    Mohd Faridzul Nasaruddin
    Presiden Ma'ruf Club 08/09
    Ahmad Ibrahim Kuliyyah Of Law


    ~ Let's Discover the Beauty of Islam ~
    * INSPIRING DAKWAH, LEADING THE UMMAH *

2 comments:

  1. Anonymous says:

    Any hope Mr. President? A heirsay is not enough....RM 3000 not enough rite...Hmm how to compete with AUKU...Politics? Necessity or Self esteem? Seem to be both for you...

  1. Anonymous says:

    Auku ... Mala fide or bona fide...
    Let we think properly what pro and cons in AUKU..

    And...what is the purpose of the government implement that act.

Leave a Reply

.::Ahlan Wasahlan::.

.::Ahlan Wasahlan::.

Academic Calendar Sem 1 09/10

Academic Calendar Sem 1 09/10

.:: Organization Chart ::.

.:: Organization Chart ::.

.::MC's Activities::.

.::Followers::.

Lets Join Ma'ruf Club's Yahoo Group

Click to join marufclub_uiam

Click to join marufclub_uiam

Subscribe to marufclub_uiam Yahoo Group
Subscribe to marufclub_uiam