.::Main Contents::.
-
Ayuh Da'ie! Keluarlah Berdakwah.
Alhamdulillah, pada 22 Mei dan 23 Mei 2009 yang lalu, Ma’ruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak dengan izin-Nya telah berjaya menganjurkan Seminar Du’at bertempat di Auditorium A, Kuliyyah of Engineering. Program yang melibatkan ahli-ahli Ma’ruf Club ini bermula hampir pada jam 9 malam walaupun pada asalnya dijadualkan bermula pada jam 8 malam atas masalah teknikal. Hal ini tidak sedikit pun mencalarkan semangat para peserta yang berkobar-kobar ingin menambah ilmu sebagai da’ei yang mantap, Insya Allah.
Antara objektif Seminar Du’at ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada peserta khususnya bahawa mereka semua merupakan da’ei, seterusnya menjadikan mereka mampu untuk berpencak dalam medan dakwah yang amat mencabar pada hari ini. Bukan itu sahaja, tugas sebagai da’ei ini memerlukan kemahiran dan cara yang betul untuk mendekati mad’u (orang yang diseru).
Hal ini sangat penting kerana dakwah bukanlah sesuatu yang kecil dan mudah untuk dijalankan, tetapi ia memerlukan kesabaran dan kekuatan hati dan iman yang cekal. Menyingkap kembali sirah Rasul junjungan, Nabi Muhammad S.A.W., baginda pernah dicaci dan dihina sewaktu baginda menyeru kaum kafir Quraisy di Makkah, tetapi Baginda tidak pernah sekali pun berputus asa bahkan meneruskan dakwah baginda diiringi doa yang bermaksud, “Wahai Tuhanku! Berilah hidayah kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengerti.”
Seminar dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, iaitu Saudara Mohd Haikal bin Mohd Ibrahim. Setelah majlis dibuka dengan Ummul Kitab, ceramah yang bertajuk ‘Peranan Da’ei’ disampaikan oleh Ustaz Redhauddin dengan gaya bersahaja dan penuh dengan humor. Hal ini membuatkan para peserta tidak henti-henti ketawa dan memberikan respon yang baik terhadap soalan yang dilontarkan oleh Ustaz Redha pada malam itu. Menurut Ustaz Redha, semua orang Islam merupakan dae’i dan bertanggungjawab untuk mengajak semua manusia di atas muka bumi ini untuk memahami dan mengamalkan Islam yang sebenar.
Tambah Ustaz Redha lagi, kita sebagai da’ei adalah sama dengan jurujual yang bertanggungjawab mempromosi barangan. Istimewanya para da’ei ini adalah kita mempunyai produk yang sangat bagus dan hebat untuk dipromosi iaitu produk Islam. Oleh sebab itu, setiap da’ei memerlukan cara yang betul dan berhikmah untuk mendekati mad’u mereka. Ceramah diselangi dengan tayangan video menjadikan sesi ceramah lebih hangat lagi. Sesi yang berakhir hampir pada jam 10.30 malam itu ditangguhkan dengan Surah Al-Asr dan tasbih kifarah.
Keesokannya, pada 23 Mei 2009, Seminar Du’at diteruskan dengan tazkirah dari Ustaz Abdullah bin Hassan@Sakawi. Dalam tazkirah yang disampaikan, Ustaz telah memfokuskan ayat 108, Surah Yusuf yang bermaksud, “Katakanlah (Muhammad), “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kamu kepada Allah dengan yakin, Maha Suci Allah, dan aku bukanlah dari orang-orang yang musyrik.”
Melalui ayat ini, para da’ei dapat mengambil pengajaran dan yakin dengan janji Allah bahawa setiap usaha dakwah yang dilakukan pasti akan mendapat ganjaran dari-Nya. Dakwah perlulah dijalankan dengan istiqamah dan yakin serta dilakukan dalam jemaah, bahkan tiada istilah ‘rehat’ dalam berdakwah. Dakwah juga tidak terhad kepada mengetuk pintu dari rumah ke rumah sahaja, bahkan ianya boleh divariasikan dengan pelbagai cara.
Seterusnya, Seminar Du’at ini diteruskan dengan perbincangan dalam kumpulan yang mana para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan diminta mengupas tajuk Bi’ah Solehah di UIAM Gombak’ disertai tiga elemen iaitu kayu ukur bi’ah solehah, teknik dan ‘skill’ serta elemen terakhir ialah bahan. Perbincangan dari kedua-dua kumpulan kemudiannya dibentangkan untuk diteliti dan dikaji oleh kesemua peserta.
Pengarah Program iaitu Saudara Fathi bin Basri melontarkan komen terhadap hasil kerja kedua-dua kumpulan. Dalam komen beliau, beliau sempat mengulas sedikit sebanyak tentang operasi yang dijalankan oleh Biro Dakwah & Tarbiyah, Ma’ruf Club bagi mencegah budaya ‘coupling’ dan ‘dating’ yang kini sangat menular di kalangan mahasiswa dan mahasisiwi UIA sendiri. Operasi yang dijalankan ini memerlukan komitmen dari semua ahli Ma’ruf Club sendiri untuk sama-sama menyumbangkan masa dan tenaga. Paling utama, ketika inilah para da’ei dapat mempraktikkan segala teori yang diperoleh untuk menjadi da’ei yang berhikmah.
Seminar Du’at pada hari itu diakhiri dengan doa’ Rabitah dan penutup bacaan Pengarah Program sendiri, Saudara Fathi bin Basri serta Surah Al-Asr dan tasbih kifarah. Harapan dari semua penggerak Sekretariat Dakwah & Tarbiah,Ma'ruf Club semoga Seminar Dua’t yang diadakan pada semester pendek kali ini berjaya memberi pendedahan kepada semua da’ei di Universiti Islam Antarabangsa, khususnya tentang teknik dan cara yang betul untuk mendekati para mad’u mereka.
Akhir kalam, kami di barisan Sekretariat Dakwah & Tarbiah, Ma’ruf Club mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program pada kali ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.Harapan kami semoga Seminar Dua’t ini berjaya memberi pendedahan kepada da’ei khususnya di Universiti Islam Antarabangsa, tentang teknik dan cara yang betul untuk mendekati para mad’u.Wassalam.
~ Let's Discover the Beauty of Islam ~
* INSPIRING DAKWAH, LEADING THE UMMAH *
Assalamualaikum..apa yg ana rasa semasa seminar ini..apa yg di sampaikan oleh ustaz Redha amat memberi kesan pada hati..bagai di ketok kepala ini setelah mendengar kata2 ustaz Redha pada mlm tu. mcm mana pengalaman ustaz Redha pada zmn sekolah dulu..seperti sma degn kisah ana. mugkin hidayah itu milik ana..Allah terusan2 memberi semangat dn ketabahn dlam jalan dakwah ana. cadangan ana..boleh laaa jemput ustaz Redha lagi klu ada apa2 coz he is full with humor..mmg best..wallahua'lam