.::Main Contents::.
-
Pilihanraya Kecil Kampus UIA
Pilihanraya Kecil Kampus
Beberapa hari yang lepas, saya cuba mengikuti dari jauh perkembangan yang berlaku di kampus UIAM. Mungkin pelajar UIA sendiri sedar atau tidak, mereka sekarang sudah hampir di penghujung semester. Cuti bakal tiba, peperiksaan juga semakin dekat terasa. Takkala pelajar-pelajar lain sedang sibuk dengan presentation, quiz, assignment dan seumpamanya, di peringkat persatuan pelajar di kuliah pula sedang sibuk untuk menghadapi pemilihan kepimpinan baru di peringkat kuliah masing-masing.
PRK Vs PRU
Pilihanraya kecil ibarat memilih menteri besar di peringkat kuliah, manakala pilihanraya umum adalah untuk memilih menteri-menteri di peringkat universiti. Itulah politik kampus. Mahu ataupun tidak, mereka bakal mewakili kita. Biarpun pemilihan pelajar diperingkat kuliah atau fakulti ini tidak mendapat sambutan meluas seperti pemilihan untuk kerusi majlis perwakilan pelajar, namun di peringkat bawahan ini sebenarnya adalah manifestasi kepada pembawakan kuliah dan seterusnya di peringkat pemilihan majlis perwakilan pelajar.
Kehangatan PRK
Kehangatan pemilihan calon-calon baru yang bakal bertanding dalam kerusi kuliah makin terasa. PRO-M, PKPIM dan GPMS mula mencaturkan calon-calon mereka yang bakal bertanding di tempat yang strategik. Kerusi yang paling panas tentulah kerusi presiden dan kerusi-kerusi yang dirasakan penting bagi mereka. Borang-borang pencalonan mula diisi.
Masing-masing sibuk mencari-cari calon yang dirasakan sesuai untuk diwakili dan mewakili. Kumpulan yang menjadi tumpuan tentulah antara 3 kumpulan terbesar; PRO-M, PKPIM dan GPMS. Kuliah yang menjadi tumpuan pula kebiasaannya adalah Kuliah AIKOL (Persatuan Pelajar Undang-undang), EMSS (Persatuan Pelajar Ekonomi), ENGINIUS (Persatuan Pelajar Engineering) dan IRKHSS (Persatuan Pelajar Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusian). Ini kerana, di kuliah @ fakulti ini, ia bakal menjadi proxy bagi 3 kumpulan tersebut.
Mesej SMS mula tersebar nama-nama calon yang perlu di undi untuk pemilihan nanti. Siapa paling ramai membawa undi mereka, maka, merekalah yang menang.
Kerusi IRK
Beberapa hari yang lepas, saya tertarik dengan pilihanraya kerusi di kuliah IRK. Kita dapat melihat kemeriahan gambar-gambar calon mula ditampal di sekitar bangunan kuliah. Nama-nama calon mula menjadi perhatian dan meniti dibibir-bibir rakan sekuliah. Adakah calon PRO-M bakal menang, ataupun PKPIM ataupun GPMS? Semuanya sudah terjawab. Kesemua calon-calon PRO-M menang dengan majoriti yang agak baik. Namun, jawatan bagi calon-calon masih lagi dalam perbincangan.
Kerusi Ekonomi
22hb pula adalah tarikh bagi pilihanraya kuliah Ekonomi. Selepas beberapa tahun kebelakangan ini calon PRO-M kalah bagi kerusi presiden, kali ini, PRO-M sekali lagi ingin bangkit untuk menawan semua kerusi paling panas tersebut. Apa yang menarik, beberapa calon sendirian sudah menarik diri di beberapa jawatan di saat-saat akhir. Mungkikah Kuliah Ekonomi bakal menjadi milik PRO-M ataupun sebaliknya. Kita tunggu dan lihat.
Kerusi Undang-undang
Kerusi yang paling panas dan kuliah yang paling hangat pertandingannya di UIA adalah kerusi kuliah Undang-undang. Ada orang beranggapan kuliah inilah medan sebenar PRO-M untuk mengukur pengaruhnya di UIA di kalangan massa di kuliah. Kerana pilihanraya bagi kerusi ini kebiasaannya bakal mempertaruhkan “nama-nama besar” di kalangan PRO-M, PKPIM dan GPMS. Pilihanraya kuliah ini menyusuri pelbagai onak dan duri untuk dipertandingkan, terutama kerusi presiden dan setiausaha. Ada yang sanggup memberi surat layang, berdebat,pengucapan awam antara calon-calon, grouping dan sebagainya. Ada juga yang di taja dikalangan sahabat-sahabat untuk bertanding. Apa yang pasti, ia bakal menguji ketahanan mahasiswa dan kematangan berpolitik masing-masing. Jika ada yang mudah terpedaya, mungkin mereka yang bakal kecundang terlebih dahulu.
نحن نقص عليك نبأهم بالحق إنهم فتية آمنوا بربهم و زناهم هدى
Maksudnya : “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar. sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada tuhan mereka, dan kami tambahai mereka dengan hidayah petunjuk.” - Surah Kahfi : 13
Sambungan di entry akan datang...
Sumber: www.helangsenja.blogspot.com
~ Let's Discover the Beauty of Islam ~
* INSPIRING DAKWAH, LEADING THE UMMAH *
more
-
PINDAAN AUKU 2008 : Manifestasi Kelesuan Gerakan Mahasiswa
Akta Universiti Kolej Universiti bukanlah suatu Akta yang asing bagi mahasiswa. Ia telah berperanan dengan baik selama lebih 35 tahun sebagai senjata paling ampuh sang aparatus untuk berdepan dengan semangat juang mahasiswa. Sejarah sendiri membuktikan bahawa AUKU ditubuhkan dengan berlandaskan mala fide intention (niat jahat) apabila ia dibentangkan ke dalam Dewan Parlimen pada Mac 1971 susulan daripada siri-siri aksi mahasiswa di jalanan yang lantang memperjuangkan nasib rakyat yang tertindas.
Yang menariknya, semenjak daripada hari pertama Akta zalim ini dikuatkuasakan, ia sering menjadi bahan cacian dan makian para akademia muda yang cakna dengan nasib dan masa depan mahasiswa di bawah cengkaman AUKU. Aksi-aksi mahasiswa terus dicatur tanpa mengira kekangan yang tergazet dalam AUKU. Namun, tidak dinafikan, era pasca penguatkuasaan AUKU, gerakan mahasiswa lebih tertumpu kepada modus bawah tanah dan pemberdayaan potensi diri semata. Gerakan mahasiswa seakan hilang rentak sekitar tahun 80-an.
Tahun 90-an pula menyaksikan kebangkitan mahasiswa yang agak relatif dengan kesedaran masyarakat sivil terhadap kezaliman dan penganiayaan yang berlaku di Malaysia. Lanskap politik yang kurang stabil akibat daripada pemusatan kuasa kepada seorang individu tertinggi pada dekad ini menyuntik kesedaran golongan marhaen untuk bertindak menentang salah guna kuasa yang berleluasa. Lebih-lebih lagi apabila pola aktivisme mahasiswa dirancakkan lagi dengan penubuhan beberapa front mahasiswa nasional termasuk GAMIS dan SMM yang tampil menjuarai isu yang berlegar.
Kemuncak kepada kebangkitan ini, mahasiswa turun bersama rakyat menyertai mobilasi nasional pada tahun 1998 untuk menzahirkan sokongan mereka terhadap gerakan reformasi. Mahasiswa diingati sebagai entiti yang agak signifikan dalam bersama-sama memacu gerakan ini bersama rakyat sehingga tumpasnya kerajaan UMNO dan pakatannya di Terengganu.
Bermula dari itu, aktivisme mahasiswa kembali rancak. Aksi-aksi mahasiswa di pentas masyarakat kembali segar dan relevan. Demonstrasi kriket, isu pinjaman PTPTN, gerakan mansuh ISA, keganasan Amerika-Israel, karikatur Nabi s.a.w dan banyak lagi merupakan antara plot-plot menarik yang tercatat dalam sejarah gerakan mahasiswa pasca reformasi. Bahkan, 7 orang mahasiswa terpaksa dikorbankan sebagai ganti kepada kerancakan momentum perjuangan mahasiswa pada tahun 2001 dalam satu peristiwa yang diingati sebagai insiden ISA 7.
Walaubagaimanapun, mutakhir ini, atau lebih tepatnya 2-3 tahun kebelakangan ini, gerakan mahasiswa tampak kurang menyengat. Taringnya seakan semakin tumpul dan tidak berbisa. Bukan kerana tiada aksi yang direncana di peringkat nasional. Isu demokrasi kampus sememangnya tidak pernah lekang daripada perjuangan mahasiswa saban tahun. Namun, modus dan metode gerakan yang kelihatan stereotaip seolah-olah membenarkan inferens segelintir pihak bahawa gerakan mahasiswa era ini bersifat retrospektif.
Bukti yang lebih jelas adalah kegagalan mahasiswa untuk mengumpulkan seluruh daya upaya mereka ke tahap yang maksimum bagi membantah pindaan AUKU baru-baru ini. AUKU yang telah bertapak lama di Malaysia seakan-akan tiada jangka hayatnya. Mahasiswa seolah-olah membenarkan AUKU untuk terus wujud dan terpelihara. Mungkin mahasiswa era ini berasa complacent dengan kondisi yang ada pada hari ini. Biarkan AUKU wujud agar mahasiswa terus sukses dalam lapangan akademik mereka.
Di Indonesia, mahasiswa di sana tidak perlu tunggu lama untuk mengkuburkan akta yang sama peranannya dengan AUKU di Malaysia iaitu NKK-BKK (Normalisasi Kehidupan Kampus-Badan Koordinasi Kampus). Undang-undang yang digazetkan pada tahun 1978 ini menemui noktahnya pada tahun 1998 apabila sebuah gerakan masif mahasiswa dan gerakan sivil bersama-sama menggesa rejim Soeharto agar segera memansuhkan NKK-BKK ini. Bukan satu dua aksi yang mereka lakukan, namun lebih banyak daripada itu sehingga agenda mereka membuahkan hasil.
Di Malaysia, sebuah gerakan yang benar-benar memperjuangkan pemansuhan AUKU adalah Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA). Ia ditubuhkan khusus untuk membawa agenda pemansuhan AUKU. Kredit perlu diberikan kepada mereka lantaran usaha mereka untuk merealisasikan agenda tersebut. Memorandum telah diserahkan, demonstrasi telah dianjurkan, siri-siri penerangan kepada mahasiswa dan Ahli Parlimen juga telah diadakan. Mungkin upaya mereka masih belum sampai ke tahap yang ekstra-maksima untuk menjayakan agenda tersebut.
Tambahan lagi, kesedaran mahasiswa tentang isu ini tidak begitu melata. Tidak semua mahasiswa benar-benar faham bahawa agenda pemansuhan AUKU adalah agenda nasional yang perlu disahut seluruh mahasiswa. Hal ini diburukkan lagi apabila wujud sekolompok mahasiswa yang lebih cenderung untuk dikenali sejarah sebagai sang pencacai kepada pak menteri apabila menyatakan sokongan mereka terhadap AUKU. Mahasiswa secara keseluruhannya tidak bersatu mendepani isu ini.
Lebih menyedihkan apabila jentera gerakan mahasiswa juga hadapi masalah sesama mereka. Di sebalik iltizam dan komitmen satu golongan aktivis mahasiswa untuk memacu dan menjayakan agenda ini, wujud pula satu golongan lain yang seakan-akan melukut di tepi gantang. Mereka berebut untuk tampil sebagai juara dalam isu pemansuhan AUKU. Apabila dipanggil mesyuarat bersama, seribu satu alasan yang dikemukakan, namun bila beraksi, dia pula yang lantang berhujah dan menyuarakan persepsi mewakili mahasiswa.
Faktor lain adalah kegagalan gerakan mahasiswa untuk mewujudkan suatu rangkaian sinergi yang baik dengan elemen-elemen masyarakat sivil yang lain termasuklah NGO, media, parti politik dan rakyat marhaen. Kesungguhan mahasiswa untuk bergerak sendiri sememangnya harus dipuji. Namun kebebalan mereka untuk tidak menggunakan kebijaksanaan dalam menerajui gerakan itu yang dikesali. GMMA sememangnya telah mengatur langkah untuk memperkukuh hubungan baik dengan entiti-entiti tersebut. Namun mungkin usaha mereka itu tidak (baca:kurang) berjawab.
Namun, tidak dinafikan, yang menang dalam pertempuran ini kali adalah sang penguasa. Mereka berjaya menumpulkan cakna mahasiswa terhadap isu-isu nasional. Mereka berjaya menguasai mentaliti mahasiswa agar terus dibelenggu oleh politic of fear. Mereka berjaya mengoptimakan seluruh ruang dan kemampuan yang ada untuk melumpuhkan gerakan mahasiswa. Jangan salahkan mereka kerana memang itulah tanggungjawab mereka sebagai penguasa yang tidak sayangkan masa depan generasi muda mereka.
Justeru, hari ini, seluruh elemen gerakan mahasiswa perlu duduk semeja. Bermuhasabahlah. AUKU telah berjaya dipinda. Slogan “Mansuhkan AUKU” entah hilang ke mana. Tekad perlu dibulatkan. Semangat perlu disemarakkan. Benar, AUKU bukan segala-galanya. Aktivisme mahasiswa tidak akan sama-sekali terkesan dengan AUKU. Namun, perlu kita ingat bahawa AUKUlah yang selama ini telah menjadi demon yang ditakuti oleh rakan-rakan mahasiswa kita yang lain sehingga mereka terperosok jauh ke dalam kehidupan kampus mereka yang sia-sia.
"Most of the important things in the world have been accomplished by people who have kept on trying when there seemed to be no hope at all." - Dale Carnegie
Mohd Faridzul Nasaruddin
Presiden Ma'ruf Club 08/09
Ahmad Ibrahim Kuliyyah Of Law
~ Let's Discover the Beauty of Islam ~
* INSPIRING DAKWAH, LEADING THE UMMAH *
more
-
LANDSKAP BARU MENANTI PRO-MAHASISWA
Kejayaan Pro-Mahasiswa UIAM dan UM membentuk kerajaan melengkapkan lagi siri tsunami politik yang dimulakan sejak 8 Mac 2008, di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Secara statistik, Pro Mahasiswa Nasional kali ini berkubu di UM (20 kerusi), UIAM (17 kerusi), UPM (13 kerusi) , UKM (12 kerusi), UPSI (8 kerusi), UTM (10 kerusi) dan USM (6 kerusi) telah membentuk hampir 90 buah kerusi berbanding hanya kira-kira 45 kerusi pada tahun 2007. Peningkatan jumlah kerusi sekali ganda ini merupakan penanda aras yang baik bagi menjawap persoalan sejauhmana respon golongan mahasiswa kepada arus perubahan politik yang dimulakan rakyat pada 8 Mac lepas. 
Namun demikian, saya berpandangan – dalam situasi UIAM - situasi ‘won uncontested’ di banyak fakulti terutamanya cawangannya di Kuantan dan juga kerusi Antarabangsa adalah satu situasi yang kurang sihat dari sudut pendidikan demokrasi kepada mahasiswa. Tambahan pula peratus keluar mengundi merosot hampir 3 % dalam keadaan sistem semudah e-voting telah diperkenalkan beberapa tahun. ‘Pesta demokrasi’ di Fakulti Undang-undang, Ekonomi dan Ilmu Wahyu seharusnya menjadi benchmark kepada makna demokrasi berpilihanraya yang sebenar kepada semua fakulti di UIAM.
Selain itu, saya juga mengharapkan kemenangan ini hendaklah memberikan makna kepada momentum gerakan Pro-Mahasiswa Nasional itu sendiri, apatah lagi dalam keadaan pindaan AUKU yang saya kira bakal memberi kesan besar kepada kebangkitan semula gerakan mahasiswa. Orientasi gerakan bertunjangkan ‘kerajaan mahasiswa’ di UM dan UIAM serta ‘pembangkang’ yang kuat di UKM, UPM, UTM, USM dan UPSI semestinya menjadi landasan kukuh ke arah mengembalikan semula kegemilangan Badan Bertindak Mahasiswa Negara. Taring ‘watchdog’ BBMN dahulu sangat menakutkan sang Pemerintah apabila banyak isu-isu di sebalik tabir kampus yang tidak didedahkan media dan universiti sendiri akhirnya berjaya diselak dan disentak oleh BBMN, akibat penguasaan kampus-kampus utama oleh golongan Islamis ini.
Akhirnya, sebagai seorang mahasiswi, saya berharap landskap baru menanti Pro-Mahasiswa Nasional kini mestilah turut sama disusuli partisipasi aktif dan agresif golongan mahasiswi. Kita selaku kelompok terbesar gerakan anak muda kini tidak boleh lagi hanya menjadi tukang angguk dan pasukan sorak yang paling ramai dalam demonstrasi, tetapi kita juga mestilah menjadi towering figure yang mampu dirasai kehadirannya oleh muslimin dan dihormati hujahnya oleh massa.
Nurul Syuhada Haji Shuib,
Timbalan Presiden 2,
Kelab Ma’ruf,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
~ Let's Discover the Beauty of Islam ~
more
